Lelaki mengamuk dipercayai mabuk, ditahan polis untuk tindakan lanjut

Suspek (baju merah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Jan: Disyaki melakukan ugutan terhadap beberapa staf wanita di sebuah pejabat di Permyjaya petang semalam, seorang lelaki warga tempatan ditahan pihak polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 45 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sebaik sahaja polis dimaklumkan mengenai kejadian.


Suspek ditangkap di sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri Permyjaya sekitar jam 7.30 malam.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu, anak lelaki kepada suspek mengalami kecederaan setelah cuba menghalang perbuatan bapanya.

Dipercayai semasa kejadian itu, suspek dalam keadaan mabuk.

Suspek juga telah mengugut akan membakar kereta mangsa yang diparkirkan berhadapan pejabat tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek menyewa di tingkat atas bangunan pejabat tersebut.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — DayakDaily