Oleh Juetila Ozzy
LIMBANG, 10 April: Seorang lelaki melecur di muka, telinga dan leher selepas kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Pasar Malam Limbang, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.24 malam.
“Anggota dari Balai Bomba Limbang terus ke lokasi kejadian dan didapati sebuah kereta telah terbakar di bahagian enjin.
“Pasukan Bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan 1 unit Hos Reel Jentera dan sumber air dari jentera tersebut sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, operasi diketuai Pegawai Kanan Bomba Mohd Ali Mohd Salleh tamat sepenuhnya pada jam 10.46 malam.
“Mangsa berusia 53 tahun pula telah dibawa orang awam ke hospital menggunakan kenderaan awam kerana mengalami melecur di muka, telinga dan leher (first degree burns).
“Bagaimanapun, dia dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily