Lelaki maut, motosikal ditunggang terbabas

Mangsa yang maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri.
Advertisement

KUCHING, April 15: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Song Thian Cheok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Mohd Adenan Ismail, 31, dari Taman Puteri disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Kriss Modenas dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya ke Jalan Song di sini.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.

“Impak kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Orang awam yang kebetulan berada di lokasi kemalangan kemudian membantu mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke rumah mayat HUS untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement