Calon SUPP akan diketahui dalam beberapa hari lagi

Dr Sim (kiri) menerima cenderahati selepas menyempurnakan pelancaran Program Saringan Kesihatan 2018 di Kuching.

KUCHING, April 15: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian enggan mendedahkan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Stampin dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Sebaliknya, beliau memberitahu keputusan sama ada beliau bertanding atau sebaliknya, termasuk senarai nama yang dicalonkan di tujuh kerusi ditandingi parti itu hanya akan diketahui dalam masa beberapa hari lagi.

“Anda akan tahu dalam masa beberapa hari sebelum hari penamaan calon,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Program Saringan Kesihatan 2018 di sini hari ini.


Terdahulu, Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menegaskan agar rakyat Sarawak terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya ini.

Menurutnya, sokongan padu yang ditunjukkan rakyat Sarawak amat penting di mana ia akan menentukan kedudukan BN Sarawak dalam menuntut hak serta kuasa negeri ini yang terhakis daripada Putrajaya.

“Saya berharap rakyat Sarawak menggunakan PRU14 ini untuk mewakili suara Sarawak yang lebih kuat di Putrajaya.

“Masih banyak yang perlu kita perjuangkan untuk mengembalikan hak serta kuasa negeri yang terhakis di dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Dr Sim menambah kerajaan negeri juga amat memerlukan kuasa di Parlimen agar bukan sahaja dapat mengembalikan hak serta kuasa negeri tetapi juga membangunkan negeri ini dengan lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia kerana Sarawak masih lagi ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam Malaysia dari segi pembangunan infrastrukturnya seperti sekolah, hospital dan jalan raya. — DayakDaily