Lelaki maut, motosikal berlanggar dengan lori

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

BAU, Okt 15: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lori di Jalan Tanjung Durian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa, Zaidin Roseli, 55, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Siniawan menuju ke Batu Kitang di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori.

“Kesan perlanggaran tersebut telah mengakibatkan mangsa tercampak dari atas motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemalangan kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily