Lelaki maut, kenderaan dinaiki terbalik akibat kemalangan

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Jan 31: Seorang lelaki menemui ajal selepas kenderaan jenis Toyota Unser yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Vios di Jalan Mendamit-Limbang di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Chin Siaw Theh disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang.

Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati Toyota Unser dalam keadaan terbalik di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga lagi mangsa yang menaiki kenderaan itu selamat, begitu juga dengan dua orang yang menaiki Toyota Vios itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya sebaik mayat mangsa dihantar ke Hospital Limbang,” katanya. ā€” DayakDaily