Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut bertembung dengan bas

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Jan 31: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas di Jalan Bulat Sarikei di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Muhammad Nor Haliszam Bongsu, 33.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Sarikei ke Sibu.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangnya telah memasuki laluan bertentangan selepas memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan sebuah bas.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan motosikal dan bas berkenaan terbakar.

“Empat penumpang termasuk pemandu bas tersebut pula selamat, namun malang menimpa mangsa apabila dia menemui ajal,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily