Lelaki maut, Hilux rempuh lori di Jalan Lapangan Terbang

Anggota Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.

KUCHING, 9 Okt: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lapangan Terbang, di sini lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata PGO Sarawak menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 12.34 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dipandu mangsa telah melanggar belakang sebuah lori yang sedang membuat penyelenggaran jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mayat mangsa, 48, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala semua pekerja penyelenggaraan jalan tiada mengalami kecederaan,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan dilakukan selepas itu.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.46 pagi. — DayakDaily