Lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Kg Keluru Jaya, Bekenu

Mangsa ditemui ahli keluarganya tanpa sedarkan diri di hadapan halaman rumahnya.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Jun 19: Seorang lelaki berusia 39 tahun maut dipercayai terkena renjatan eletrik dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Keluru Jaya, Bekenu petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ahli keluarganya di halaman kediamannya dipercayai selepas terkena renjatan elektrik ketika memasang antena televisyen di halaman rumahnya menggunakan galah aluminium.

Dipercayai galah aluminium tersebut terkena pada kabel elektrik berdekatan.

Menurut Pemangku Ketua Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba II Supt Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dan pegawai Bomba dari balai bomba Batu Niah dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan keluaran operasi hanya memastikan keadaan terkawal kerana mangsa telah dihantar ke klinik kesihatan Bekenu oleh keluarga mangsa,” ujar Ahmad Nizam. — DayakDaily