Lelaki maut, dilanggar lari selepas hantar anak ke sekolah

Lokasi kejadian seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dilanggar lari di Jalan Betong-Sarikei-Maradong.

SARIKEI, 31 Ogos: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dilanggar lari di Jalan Betong-Sarikei-Maradong semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei Supt Awang Arfian Awang Bujang berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun dan berasal dari Rumah Seraka, Kerapa Ulu Paoh, di sini.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi semasa mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar anaknya ke sekolah.


“Siasatan awal dipercayai mangsa yang menunggang motosikal telah dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang berdasarkan kerosakan yang ada pada motosikal mangsa.

“Impak perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi IPD Sarikei di talian 084-652222 atau Pegawai Penyiasat Insp Ahmad Mustaqim di talian 011-70178478. — DayakDaily