MUKAH, 6 Mei: Seorang lelaki maut, dipercayai dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Batang Oya, di sini semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Mukah/Dalat Kapten (PA) Zuriza Sharkawi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.34 malam.
Katanya, anggotanya terus ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh rakan-rakan mangsa bersama penduduk kampung.
“Mayat mangsa berjaya dijumpai pada jam 12.30 tengah malam oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan mangsa yang berumur 58 dari Kampung Boom Oya keluar menjala udang pada jam 8.30 malam bersama rakan mengguna perahu masing-masing.
“Pada jam 10.31 malam, mangsa dikatakan tiba-tiba menjerit meminta tolong dari rakannya.
“Rakannya sampai di perahu mangsa dan mendapati mangsa tiada dalam perahu serta kelihatan seekor buaya telah membaham mangsa,” katanya.
Rakan-rakannya cuba menyelamat mangsa sehingga dia dijumpai namun telah disahkan meninggal dunia. ā DayakDaily