Keadaan kereta mangsa yang terbalik.

MIRI, Nov 18: Seorang lelaki meninggal dunia, manakala anaknya cedera ringan selepas kereta Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 12 Jalan Dato Joseph Balan Seling Pujut 7, di sini malam Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik DSP Bingkok John berkata mangsa iaitu Reuben Juh@Ngau Juh berusia 49 tahun dan berasal dari Desa Indah Bandar Baru Permyjaya Tudan.

Menurutnya, mangsa dan anaknya semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka apabila kereta mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas iaitu sekitar jam 8.15 malam.

“Kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar pembahagi tengah jalan lalu masuk ke tengah pembahagi jalan yang bertanah menyebabkan kenderaan berpusing dan terbalik.

“Mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba yang kemudian dikejarkan ke Hospital Miri sebelum disahkan meninggal dunia,”kata Bingkok.

Manakala anak lelaki mangsa yang berusia 20 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily