MUKAH, 13 Jan: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Setia Raja, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 1.26 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi memaklumkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Toyota Vios yang terbabas ke bahu jalan.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat dan mengalihkan mangsa yang dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri dari tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Abdul Malik Mahden, 56, bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. ā DayakDaily