SARIKEI, 2 Jan: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Nylong Bypass, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.55 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah 4WD yang dipandu seorang lelaki telah terbabas ke dalam parit.
“Kenderaan tersebut dipercayai telah melanggar tiang elektrik sebelum terbabas.
“Pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan (mangsa) telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.47 pagi. — DayakDaily