Lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Mukah-Selangau

Keadaan kereta mangsa.

MUKAH, 25 Mac: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Bukit Dinding Jalan Mukah-Selangau awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata mangsa berumur 43 berasal dari Sungai Petai, Sarikei.

Katanya, kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 5 pagi.


“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui selekoh semasa dalam perjalanan dari arah Selangau menuju ke Mukah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh kakitangan Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya terdapat seorang wanita dipercayai anak mangsa berusia 19 tahun turut mengalami kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Mukah, manakala anaknya turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily