Lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Miri-Airport

Kemalangan maut membabitkan sebuah SUV dan seorang penunggang motorsikal berdekatan Balai Traffik Miri hari ini (20 Julai, 2020).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Julai: Seorang tukang cat maut  selepas motorsikal yang ditunggangnya  dirempuh sebuah kenderaan off-road serbaguna (SUV), berhampiran Balai Traffik Miri, Jalan Miri-Airport hari ini.

Dalam kejadian pada 12.15 tengahari itu, lelaki berusia 44 tahun dari Desa Murni Permai itu meninggal dunia akibat cedera parah pada badan dan kepala.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang wanita berusia 60 tahun sedang menghala ke bandar raya Miri dari arah Airport tiba-tiba hilang kawalan melanggar penghadang jalan tengah lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motorsikal terbabit.

“Pemandu kereta tidak sempat mengelak dan terus melanggar motorsikal yang ditunggangi lelaki itu,” ujar Lim.

Penunggang motorsikal disahkan meninggal ditempat kejadian.

Lim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- DayakDaily