Lelaki masuk lokap polis, gara-gara mengamuk PKPD

Suspek mengamuk di PKPD Kampung Telaga Air.

KOTA PADAWAN, 2 Ogos: Dipercayai tertekan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan seorang lelaki mengamuk di Kampung Telaga Air semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek, berusia 30 tahun, tersebut bertindak sedemikian apabila diminta pasukan keselamatan untuk pulang ke rumah pada jam 2.30 petang.

Suspek bagaimanapun enggan, malah bertindak menyerang anggota keselamatan menggunakan senjata kayu panjang.


“Berlaku pergelutan di antara suspek dengan anggota keselamatan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan kemudian dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek marah dan mengamuk kerana tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD yang dikawal ketat anggota keselamatan,” katanya.

Suspek akan ditahan reman sehingga 4 Ogos ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.— DayakDaily