Lelaki mabuk ditangkap pecah cermin bank di MJC

Cermin bank yang dipecah di MJC.

KUCHING, 5 Feb: Seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol ditangkap selepas dikatakan memecahkan pintu dan dinding cermin sebuah bank di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek berusia 34 tahun itu ditangkap selepas laporan diterima iaitu sekitar jam 9.30 malam.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan tindakan suspek yang tiba-tiba memecahkan cermin pintu dan dinding bank berkenaan.


“Siasatan awal mendapati suspek mengaku ada mempunyai kad pesakit mental, namun telah hilang dan juga pernah menerima rawatan di Hospital Sentosa.

“Suspek bertindak memecahkan cermin bank tersebut kerana ada terdengar suara halus mengarahkannya untuk bertindak sedemikian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya suspek mengaku ada minum arak jenis langkau dari jam 4 petang di tangga kaki lima sebuah bangunan kedai di MJC sehingga mabuk hari yang sama.

“Siasatan juga mendapati suspek merupakan seorang gelandangan dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap.

“Dia juga memberitahu pernah memohon untuk tinggal di rumah Anjung Kasih, namun tidak diterima,” katanya.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas ialah bata dan batang besi yang digunakan suspek memecahkan cermin bank berkenaan,” katanya. — DayakDaily