Lelaki jatuh perahu dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas

Pasukan SAR sedang melakukan operasi mengesan mangsa di Nanga Sayong, Sungai Entabai, Julau.

BINTANGOR, Mei 24: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari perahu yang dinaikinya di Nanga Sayong, Sungai Entabai, Julau di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Anjan Nyua, 66, dikatakan hilang selepas perahu yang dinaikinya terbalik di kawasan sungai yang berpusar di situ.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu dari Balai Polis Julau pada pukul 1.19 petang.


Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor yang diketuai Komander Operasi, Nicholas Belulin kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Kata Tiong, jarak lokasi kejadian dari BBP Bintangor adalah kira-kira 73 kilometer.

“Berdasarkan maklumat awal, pada Mei 22 lalu sekitar pukul 8 pagi, mangsa yang berasal dari Rumah Ading Nanga Jemak, Sungai Entabai, Julau menggunakan perahu seorang diri bagi menghadiri majlis Pra Gawai di SK Nanga Entabai Julau.

“Sehingga tengah malam, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk balik ke rumah yang berada di hulu sungai dari sekolah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, hasil maklumat daripada penduduk rumah panjang Rumah Minggat, Nanga Sayong, Entabai, Julau juga mengatakan sekitar pukul 1 hingga 2 pagi ada mendengar suara dari arah sungai meminta tolong.

Katanya, apabila mereka tiba di tebing sungai, mendapati hanya menemui perahu dan enjin sangkut milik mangsa sahaja yang kelihatan hanyut.

“Anak mangsa kemudian mengesahkan perahu dan enjin sangkut adalah kepunyaan ayahnya.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan. Operasi itu turut disertai pasukan polis, APM dan penduduk rumah panjang,” katanya. — DayakDaily