Lelaki jatuh dari jeti Batang Rajang, ditemui mati

Keluarga mangsa menunggu di jeti tempat kejadian.

Tanjung Manis, 29 Dis: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di jeti sungai Batang Rajang di Simpang Lassa Rumah Francis Nanga Singat, di sini ditemui mati semalam.

Difahamkan kejadian berlaku pada 26 Disember iaitu sekitar jam 3 petang apabila mangsa, 37 tahun, tiba-tiba terjatuh dari jeti tersebut dan terus hilang.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pihak keluarga namun tidak berjaya dan laporan polis dibuat pada keesokan harinya sekitar jam 7.46 pagi.


Ekoran itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) bersama pihak berkuasa lain telah melancarkan operasi SAR namun terpaksa ditangguhkan pada hari tersebut disebabkan faktor cuaca dan keselamatan.

Operasi SAR kemudian disambung semula semalam dan radius pencarian diperluaskan sejauh 8 kilometer menggunakan kaedah ‘water surface’.

“Pada jam 1.45 petang, mangsa telah ditemui penduduk kampung kira-kira 50 meter dari tempat mangsa terjatuh dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis,” kata jurucakap Bomba.

Operasi SAR terbabit ditamatkan pada jam 2.30 petang. — DayakDaily