Lelaki jatuh dari bangunan di Jalan Boulevard 2A: Polis klasifikasi kes sebagai mati mengejut

Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri turut kelihatan di lokasi dan mengangkat mayat mangsa ke sebuah trak polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Mei: Polis mengklasifikasikan kes seorang lelaki yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Boulevard 2A di Boulevard Commercial Centre di sini pagi ini sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian mangsa.


“Setakat ini, polis menjalankan siasatan kes itu sebagai SDR dan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah namun kami menunggu laporan bedah siasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kunjungan hormat ahli Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri pagi tadi.

Alexson berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian awal pagi tadi sekitar jam 8 pagi, mayat mangsa ditemui oleh orang awam di kawasan tersebut dengan kesan kecederaan parah pada badan dipercayai akibat terjatuh dari sebuah unit bangunan terbabit. — DayakDaily