Oleh Dean Adam
KANOWIT, April 29: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari rotan di kawasan hutan Sungai Naman dekat sini semalam ditemui selamat hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata, mangsa, Ragai Setia, 79, ditemui selamat oleh pekerja ladang sawit kira-kira pukul 12.19 tengah hari.
Katanya, semasa ditemui mangsa kelihatan lemah akibat tidak makan dan minum.
“Pekerja sawit kemudian memberikan makanan dan minuman kepada mangsa sambil menunggu ketibaan pasukan mencari dan menyelamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Arrahman menambah, sebelum itu pihaknya menerima panggilan dari Bilik Kawalan BBP Sungai Merah memaklumkan kes berkenaan pada pukul 3.23 petang semalam.
“Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 1.20 petang,” katanya. — DayakDaily