Liew: Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) di Mesyuarat DUN jadi penentu

Abang Johari(tengah) menerima kunjungan Liew (dua dari kiri) di Wisma Bapa Malaysia di Kuching. Turut kelihatan Uggah(dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 29: Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 esok bakal menentukan bagaimana dan secepat mana isu yang sama dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong berkata keputusan yang dibuat DUN Sarawak berkenaan usul tersebut adalah sangat penting.

“Ketua Menteri Sarawak sangat mengambil berat berkenaan isu ini dan kita ingin memastikan yang hak-hak, bukan hanya untuk Sarawak tapi juga untuk Sabah dikembalikan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita mahu semua perkara berkaitan diperhalusi yang mana MA63 adalah satu pakej,’katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Liew menjawab soalan wartawan setelah mengadakan pertemuan dengan Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia.

Tambah Liew, beliau sendiri akan memantau pembentangan dan perbahasan berkenaan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) tersebut.

“Kita tunggu apa yang bakal berlaku esok, kerana ianya mewakili suara seluruh rakyat Sarawak dan dibawa ke DUN melalui wakil-wakil rakyat mereka,” katanya.

Usul tersebut akan dibentangkan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Selain Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, usul yang sama juga akan dibentangkan ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon pada hari yang sama.

Mengulas isu yang sama, Liew menegaskan yang MA63 adalah fakta sejarah yang masih kekal seperti bentuk asal dan tidak boleh diubah.

“Sarawak ada 18 perkara dalam perjanjian tersebut dan Sabah memiliki 20 perkara.

“Ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh diubah dan saya anggap kita (Sarawak dan Sabah) setuju akan perkara ini,” katanya.

Menjawab soalan wartawan berkenaan penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, Liew menjawab kerajaan membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan itu.

Katanya, ketua menteri (Abang Johari) membantah sekeras-kerasnya ke atas tindakan tersebut lebih-lebih lagi tiada rundingan berhubung perkara itu dilakukan.

“Itulah maklumbalas yang diterima dan saya memberi pertimbangan.

“Tindakan penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu tidak akan berlaku buat masa ini,” katanya. — DayakDaily