‘Kerajaan Sarawak diterajui GPS terus berjuang tuntut hak-hak dalam MA63’

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 29: Kerajaan Sarawak diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus berjuang menuntut kembali hak-hak Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja seperti yang terdapat di Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, perjuangan menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 sangat mustahak bagi memastikan rakyat di negeri ini menikmati pembangunan yang berterusan.


Jelas beliau, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud juga menyatakan sokongan kepada kepimpinan kerajaan Sarawak kini yang berusaha gigih dalam menuntut serta memperjuang bagi mendapatkan semula hak-hak yang terhakis.

“Yang di-Pertua Negeri sendiri menyokong penuh usaha Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mencari mekanisme terbaik berbincang dengan kerajaan persekutuan dalam hal membabitkan MA63 ini hak Sarawak yang terhakis,” katanya.

Beliau diminta mengulas ucapan Taib sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di sini hari ini.

Sebelum itu, Taib berkata, kerajaan negeri terus berusaha untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan Sarawak terus menerima manfaat dari segi keamanan dan pembangunan negara.

Jelasnya, adalah menjadi harapan seluruh rakyat Sarawak agar kerajaan persekutuan terus memberi peruntukan yang mencukupi untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri. — DayakDaily