Lelaki hilang sejak empat hari ditemui mati

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

JULAU, Okt 13: Seorang lelaki yang gagal dihubungi sejak empat hari lepas ditemui mati di sebuah rumah kosong berhampiran Rh Budit di Nanga Sebuluh dekat sini malam tadi.

Mangsa, Janatan Lidum, 44, ditemui mati oleh penduduk rumah panjang pada pukul 9 malam.


Jurucakap polis berkata sebelum itu, rakan mangsa dikatakan telah menghubungi lelaki malang tersebut pada 8 Okt lepas.

Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan tidak menjawab panggilan telefon daripada rakannya

“Bimbang dengan keadaan mangsa yang gagal dikesan selepas itu, rakannya kemudian bertindak membuat laporan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, susulan laporan diterima, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily