Lelaki hilang sejak 27 Okt lalu ditemui selamat

Mangsa diperiksa oleh anggota SAR di PKB sebelum dihantar ke klinik.

BETONG, 1 Nov: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa meracun rumput di sebuah ladang sawit di Kampung Hulu Manggut, di sini ditemui selamat pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, 49, ditemui oleh kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur kira-kira 1km dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 9 pagi tadi.

Katanya, mangsa kemudian diberikan makanan sebelum dihantar ke PKB untuk tindakan selanjutnya.


“Mangsa ditemui sekumpulan pegawai Jabatan Tanah Dan Ukur yang sedang membuat kerja merintis hutan.

“Mangsa dalam keadaan sedar dan sedikit lemah serta pemeriksaan yang dibuat hanya mengalami sedikit kesan calar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat SAR yang memasuki hari keempat hari ini ditamatkan pada jam 10.30 pagi.

Mangsa dilaporkan hilang sejak 27 Oktober lalu apabila tidak pulang selepas keluar meracun rumput di ladang sawit tersebut.

Laporan kehilangan mangsa hanya dibuat pada 28 Oktober apabila usaha mencari mangsa oleh ahli keluarganya gagal. — DayakDaily