Lelaki hilang ditemui selamat di kawasan perkuburan

Anggota bomba memberi minuman kepada mangsa.

Oleh Dean Adam

BETONG, Julai 14: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ditemui selamat di kawasan tanah perkuburan di Jalan Lidong, Skrang dekat sini hari ini.

Mangsa, Munau Tama, 69, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.40 petang.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebelum ditemui, pasukan SAR telah menemui kesan tapak kaki pada jarak 100 meter dari lokasi mangsa dijumpai.

Katanya, semasa ditemui mangsa dilaporkan lemah dan mengalami kecederaan ringan dan calar pada bahagian kakinya.

“Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh unit EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi SAR yang memasuki hari kedua tamat pada pukul 3.30 petang. — DayakDaily