LAWAS, Julai 29: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham seekor buaya di Sungai Kampung Seberang Mission di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa, Efendy Panil, 45, dilaporkan hilang semasa dia sedang membasuh pakaian di tebing sungai berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.16 tengah hari.
Katanya, sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebelum itu, berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan sedang membasuh pakaian dan mengambil air di tebing sungai berkenaan.
“Namun, malang menimpa mangsa apabila seekor buaya dipercayai tiba-tiba muncul di permukaan sungai lalu membaham dan menarik mangsa ke tengah sungai sebelum kelibat lelaki itu terus hilang,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, operasi SAR yang dilakukan hari ini lebih memberi tumpuan kepada pencarian di permukaan sungai.
Katanya, pencarian dilakukan di sekitar 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan diserang sang bedal tersebut.
“Operasi SAR ini turut dianggotai oleh pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, petugas hospital dan penduduk kampung setempat
“Setakat pukul 6 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya. — DayakDaily