Pesara Petronas hilang ketika keluar menangkap ikan ditemui mati lemas

Mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

MIRI, Julai 29: Seorang pesara Petronas yang dilaporkan hilang semasa menangkap ikan di perairan Kuala Sibuti sejak Julai 24 lepas ditemui mati lemas lewat petang semalam.

Mayat mangsa, Ebrahim Yaman, 59, ditemui dalam keadaan terapung oleh seorang nelayan yang sedang memancing di kedudukan 11.7 batu nautika dari pantai dan kira-kira 23 batu nautika dari Kuala Sibuti.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 5.45 petang.


Katanya, nelayan berkenaan kemudian menghubungi pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membantu mengangkat mayat mangsa dari laut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Bay, Miri di sini kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

“Mayat lelaki warga emas itu kemudiaannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Kuala Sibuti.

Mangsa dikatakan keluar rumah menjalankan aktiviti ‘merawai’ di laut, namun gagal balik ke rumahnya di Kampung Sibuti. — DayakDaily