BATU NIAH, 8 Jun: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya atau lemas di sungai di ladang Kuala Suai, Sungai Telong di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 12.55 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat dari Komander Operasi mengatakan mangsa kemungkinan hilang di sungai, namun belum dapat dipastikan sama ada mangsa di baham buaya atau lemas kerana tiada saksi kejadian.
“Buat masa sekarang, cuma menjumpai motosikal, topi, kasut dan beg sandang mangsa berdekatan tepi sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya juga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas itu di sekitar lokasi kejadian.
“Radius pencarian adalah 1 kilometer ke hulu dan 1 kilometer ke hilir sungai,” katanya.
Operasi SAR tersebut ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula esok. — DayakDaily