Rumah Spektra Permata di Kampung Tian, Matu ditambah – Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (file pic)

KUCHING, 8 Jun: Kerajaan akan menambah jumlah Rumah Spektra Permata di Kampung Tian, Matu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah 80 atau 100 unit diambil kira bagi memenuhi permintaan di kawasan tersebut.

“Kita telah menyiapkan sebanyak 20 unit rumah spektra, ini adalah percubaan dan hari ini saya difahamkan bahawa permintaan meningkat.


“Maka kita akan tambah rumah spektra dan bangunkan di kawasan ini,” katanya pada sidang media semasa tinjauan mesra ke Tapak Projek Rumah Spektra Permata di Kampung Tian hari ini.

Tambah Abang Johari, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan adalah punca permintaan terhadap rumah spektra di Matu meningkat.

Pertama katanya, kos bagi membina infrastruktur seperti bekalan elektrik, air dan jalan yang berjumlah RM150,000 untuk satu unit rumah tidak dikenakan kepada pembeli tetapi ditanggung oleh kerajaan.

“Kedua, kerajaan membayar deposit RM10,000 dengan tak perlu dibayar balik.

“Kerajaan juga menyediakan pinjaman dengan kadar bunga 1 peratus, inilah sebab permintaan bertambah,” kata Abang Johari. — DayakDaily