Lelaki ditemui rentung, tertidur selepas letih memotong rumput

Api sedang marak membakar sebuah rumah di Kampung Hulu, Spaoh.

BETONG, Dis 18: Malang menimpa seorang lelaki apabila ditemui dalam keadaan rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah rumah yang musnah terbakar di Kampung Hulu, Spaoh dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Saiful Johari, 25, ditemui rentung di dalam sebuah bilik tidur di kediaman tersebut.

Menurut sumber, mangsa dikatakan tertidur di dalam sebuah bilik tidur selepas letih memotong rumput di kawasan rumah milik kawan nya itu.


“Ketika kejadian, tiga penghuni lain dikatakan tiada di rumah berkenaan kerana mereka dikatakan ke kedai di kampung tersebut,” kata seorang sumber ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii memberitahu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.21 petang.

Katanya, sebaik tiba di kampung tersebut, anggota bomba mendapati rumah kayu satu tingkat itu telah musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

“Selepas kerja-kerja memadam api tamat, pasukan bomba telah menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung.

“Lebih malang, mayatnya ditemui di bawah timbunan kayu-kayu yang musnah terbakar,” katanya.

Tambah Tiong, buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily