Met Malaysia keluarkan amaran cuaca buruk di kawasan barat Sarawak

Notis amaran cuaca buruk yang berkuatkuasa di Sarawak dari Dis 17-20.

KUCHING, Dis 17: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini mengeluarkan amaran kategori cuaca buruk berbanding amaran waspada pada Dis 15 lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memberitahu, amaran cuaca waspada yang dikeluarkan sebelum ini kini ditingkatkan kepada amaran cuaca buruk berikutan taburan hujan lebat sedang dan dijangka berterusan melibatkan kawasan di barat Sarawak.

Justeru, Met Malaysia menjangkakan kawasan persekitaran akan mengalami kesan hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh Dis 17 hingga 20 ini.


Kawasan-kawasan yang dijangka terlibat ialah bahagian Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah.

Met Malaysia akan menukar katogeri amaran daripada menggunakan warna kepada bertulis sebagai langkah awal bagi memastikan laporan kaji cuaca dan isyarat awal mudah diterima dan difahami orang ramai khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam amaran bertulis, warna kuning akan diletakkan perkataan ‘waspada’, warna jingga kepada amaran ‘buruk’, manakala, merah kepada amaran ‘bahaya’.

Dalam pada itu, JPBNS dalam kenyataan sama berkata amaran cuaca waspada turut dikeluarkan bagi bahagian Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Sehubungan itu, semua bilik operasi bencana di setiap bahagian agar sentiasa bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi seperti banjir dan tanah runtuh.

Bilik Gerakan Negeri juga dalam kesiapsiagaan bersedia menerima maklumat bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa.

Bilik Gerakan Negeri boleh dihubungi di talian 082-443 991 / 446 991.

Semua Pejabat Residen juga dimohon untuk memastikan pusat-pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas.

Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut perlu memastikan aset-aset pengoperasian mencukupi dan berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan. — DayakDaily