Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
Advertisement

BAU, Mac 3: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui rentung dalam satu kebakaran melibatkan dua buah rumah di Jalan Wind Cave di sini awal pagi ini.

Kejadian kebakaran kira-kira pukul 2.50 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Voon Kim Kee, 38, disahkan meninggal dunia akibat rentung.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, mangsa ditemui rentung dalam keadaan meniarap di dalam sebuah bilik mandi di rumahnya.

Advertisement

Katanya, enam lagi penghuni yang menetap sama dengan mangsa pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Seorang lagi mangsa yang menetap di sebuah rumah sebelah juga selamat, namun sebuah kereta yang diletakkan di luar kediaman tersebut telah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ebby memberitahu, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 2.51 pagi.

Katanya,10 anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Ketika sedang bertugas memadam kebakaran, seorang anggota bomba dilaporkan cedera selepas ditimpa struktur dinding konkrit rumah tersebut.

“Namun, anggota bomba terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan susulan selepas itu,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih disiasat, ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement