Peniaga hilang tempat berniaga, lima gerai musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran gerai di Jalan Desa Indah 3, Permyjaya.

MIRI, Mac 3: Para peniaga di Jalan Desa Indah 3, Permyjaya di sini hilang tempat berniaga apabila lima gerai di situ musnah terbakar awal pagi ini.

Namun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 pagi itu, lima lagi gerai di situ berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 3.59 pagi.

Katanya, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Tujuh anggota bomba dari BBP Miri turut ke tempat kejadian sebagai pasukan bantuan.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak di gerai-gerai di situ, namun tindakan pantas memadam kebakaran berjaya menyelamatkan banyak gerai lain di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, pasukan bomba terus membuat ‘fire break’ dan melakukan pemadaman dan berjaya mengawal api daripada merebak ke gerai yang lain.

Katanya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

“Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily