Lelaki ditemui mati selepas dilaporkan terjatuh semasa periksa pukat di Selangau

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Advertisement

SELANGAU, 18 Nov: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh semasa memeriksa pukat di Sungai Oya, Nanga Tamin, di sini sejak 16 November lalu, ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa berusia 49 tahun itu ditemui oleh orang awam pada jam 6.30 pagi, kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama anggota Balai Polis Stapang terus ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan mangsa.

Advertisement

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut bersama-sama ke lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada jam 8.40 pagi. — DayakDaily

Advertisement