Lelaki ditemui mati dalam pikap di Betong

Mangsa disahkan telah meninggal dunia.

BETONG, 16 April: Seorang lelaki ditemui mati di dalam pikap berdekatam sebuah kilang ladang sawit di Jalan Tisak, di sini hari ini.

Sumber memberitahu mangsa berusia 57 tahun itu dikatakan tiba di kawasan ladang tersebut untuk menghantar barang keperluan pekerja ladang malam tadi.

Mangsa dipercayai tertidur di dalam pikap tersebut sehingga pagi.


“Difahamkan beberapa pekerja ladang cuba mengerakkan mangsa bangun namun tidak berjaya dan kemudian terus mendapatkan bantuan,” kata sumber.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Kapten Siti Huzaimah Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.41 pagi.

Katanya beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan ke lokasi kejadian selepas itu.

“Anggota kita terpaksa mengumpil pintu untuk mengambil kunci pikap tersebut dan setelah pintu berjaya dibuka, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tiada nadi.

“Pemeriksaan lanjut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily