KUCHING, 18 Ogos: Bau dan cecair busuk dari sebuah bilik sewa di Batu Kawah, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.
Kejadian tersebut dikatakan dijumpai oleh seorang wanita yang turut menyewa di bangunan kedai tersebut sekitar jam 6.30 petang hari Rabu.
Difahamkan wanita terbabit mula mencurigai sesuatu selepas menghidu bau busuk namun tidak mengesyaki ada kematian sehingga terdapat cecair busuk dari bilik sebelah masuk ke dalam biliknya.
Dia kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan beberapa anggota dari balai polis berdekatan hadir di lokasi kejadian.
Katanya pemeriksaan ke dalam bilik tersebut telah menemui mayat seorang lelaki berusia 37 tahun dan berasal dari Kampung Sudoh Singai, Bau.
Siasatan di tempat kejadian tiada menemui apa-apa senjata mahupun objek tajam dan tiada sebarang unsur jenayah.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily