Diesel dianggarkan bernilai RM223,290 dirampas di Asajaya

Pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan.

KOTA SAMARAHAN, 18 Ogos: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terlibat kegiatan penyeludupan diesel di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Sudirman Kram berkata kedua-dua suspek ditangkap dalam serbuan ke atas stor penyimpanan diesel itu di Jalan Kampung Ulu Semera, Asajaya sekitar jam 2.20 petang semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM223,290.


“Pemeriksaan di dalam stor menjumpai beberapa buah tangki berisi minyak diesel yang merupakan barang kawalan.

“Turut diperiksa ialah dua buah lori yang berada di stor tersebut dan menjumpai beberapa tangki berisi minyak diesel di dalamnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kesemua minyak diesel tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan serta barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuching untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily