Lelaki ditangkap selepas dikatakan tertembak rakannya sendiri ketika memburu

Senapang patah yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

BAU,12 Feb: Seorang lelaki ditangkap selepas dikatakan tertembak rakannya sendiri ketika memburu di Kampung Serasot, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek yang berusia 42 tahun ditangkap di selepas rakannya yang cedera di dada dan kaki dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan iaitu sekitar jam 12 tengah malam.


Poge memberitahu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh pihak hospital dan seterusnya tangkapan dibuat pada jam 1 pagi hari ini.

“Suspek ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serasot dan semasa tangkapan dibuat, pasukan operasi turut merampas dua butir peluru hidup daripada suspek.

“Kemudiannya, suspek menunjukkan lokasi di mana dia membuang selaras senapang patah buatan sendiri di Kawasan hutan di Jalan Tibulus selepas insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyten 39 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara rakan mangsa sehingga berita ini ditulis dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Bau. -DayakDaily