Lelaki ditangkap, ceroboh sub-station SEB di Samarahan

Pemeriksaan dilakukan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 15 Mei: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki menceroboh Sub Station Sarawak Energy Berhad (SEB) berdekatan The Summer Mall, di sini semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan melalui akaun Facebooknya memberitahu suspek berusia 30an itu ditangkap selepas pihak polis menerima maklumat daripada anggota pengawal keselamatan pusat beli belah tersebut.

“Ketika tangkapan dibuat, pihak polis turut menjumpai pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah curi.

Advertisement

“Turut dirampas sebuah motosikal yang digunakan suspek,” katanya.

Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily

Advertisement