Oleh Brad Rantayy
MIRI, 13 Jan: Perbuatan seorang lelaki dari Tudan Desaras Fasa 6 melontar beberapa tempurung kelapa ke arah rumah jirannya membawa padah, apabila dia ditahan pihak polis petang semalam.
Lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan bertindak melontar tempurung kelapa tersebut kerana merasa tidak puas hati terhadap jirannya itu dan menuduh mangsa memfitnah dirinya dan keluarga.
Suspek ditahan sekitar jam 6 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) susulan laporan dibuat oleh mangsa.
Sebelum kejadian yang dikatakan berlaku pada jam 3 petang itu, mangsa, berusia 52 tahun sedang duduk di ruang tamu rumah bersama anak lelakinya.
Kedua-dua mereka terkejut apabila beberapa tempurung kelapa dilontar melalui tingkap rumahnya.
Kelihatan suspek berdiri di luar rumahnya sambil memegang sebilah parang dan mengugut akan mencederakan pengadu.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily