Lelaki ditahan selepas disyaki menampar dan mengugut pemandu wanita warga emas

Suspek (tengah) ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Mac: Disyaki menampar dan mengugut seorang pemandu wanita warga emas bersuia 50 tahun dalam kejadian berhampiran lampu isyarat Tudan, seorang lelaki warga tempatan ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10 malam pada Rabu (23 Mac) selepas kereta yang dipandu suspek terlibat dalam kemalangan.


Tangkapan dilakukan sekitar jam 3 petang hari ini.

“Siasatan awal mendapati kereta suspek dan kenderaan yang dipandu mangsa terlibat dalam satu kemalangan berhampiran lampu isyarat Tudan,” ujar Hakemal.

Suspek berusia 32 tahun itu yang tidak berpuas hati, telah bertindak agresif terhadap pemandu wanita tersebut.

Susulan kejadian, mangsa telah tampil ke Balai Polis Pusat Miri untuk membuat satu laporan.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mukanya.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan berhemah semasa di jalan raya serta tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang,” ujar Hakemal. — DayakDaily