Lelaki ditahan dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis di Luak

DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Okt: Tindakan agresif seorang lelaki warga tempatan menolak seorang anggota polis berpangkat Lans koperal membawa padah apabila dia ditahan untuk siasatan pada petang semalam (11 Oktober) di Luak.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan selepas dipercayai bertindak menengking dan membuat provokasi sebelum menolak anggota polis terbabit di sebuah lokasi kemalangan berhampiran Luak Esplanade sekitar jam 4.40 petang.


Sebelum kejadian, anggota polis tersebut bersama seorang rakan sekerjanya telah bergegas ke lokasi selepas mendapat maklumat terdapat satu kemalangan di situ antara sebuah kereta dan lori.

Kedua-dua kenderaan didapati telah menghalang laluan jalan raya berkenaan dan anggota polis telah dimaklumkan untuk membantu melakukan tindakan awal bagi mengawal kesesakan jalan akibat kejadian.

Namun ketika di lokasi, suspek telah membuat provokasi sebelum dipercayai menolak anggota polis berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati, suspek merupakan rakan salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Suspek dipercayai telah menengking dengan kasar terhadap anggota polis berkenaan dan menyatakan bahawa polis tidak ada hak untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan kes tersebut dan berkata suspek direman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186/332 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dan mencederakan penjawat awam.

Seksyen 186 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 332 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. —DayakDaily