Lelaki disyaki pengedar dadah ditangkap, dadah bernilai RM14,014 dirampas

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 26 Mei: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditangkap di kawasan Sungai Maong, di sini pada 23 Mei baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata suspek yang berusia 32 tahun telah ditangkap dalam satu operasi dari jam 6 petang hingga 10 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,014.


“Keseluruhan rampasan dadah bernilai RM14,014 iaitu 105 biji pil Ekstasi, tiga paket jus Ekstasi, 69.89 gram ketamin dan 14 botol cecair campuran ganja.

“Modus operandi suspek adalah mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan di Kuching dan kemudian dibungkus semula untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk dijual kepada penagih di kawasan Batu Kawah dan Padawan.

“Hasil saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermuka 24 Mei hingga 30 Mei ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily