Polis tahan lelaki disyaki ugut nak pecahkan kepala ibu

Suspek (barisan depan, lima dari kiri) ditahan polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Mei: Polis tengahari tadi menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap ibunya sendiri selepas berang permintaannya untuk sejumlah wang ditolak.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 28 tahun itu diberkas anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) IPD Miri kurang dua jam selepas dimaklumkan mengenai kejadian.


“Suspek ditahan di rumah keluarganya di Kampung Usaha Jaya Batu 8 Lambir ” katanya.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi, suspek bukan sahaja mengugut akan memecahkan kepala ibunya, malah telah merosakkan sebuah motorsikal milik bapaknya dan barangan di dalam rumah terbabit.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan khianat. — DayakDaily