Lelaki direman empat hari kerana pukul suspek dalam kes curi kenderaan

PDRM logo

KUCHING, 23 Julai: Seorang lelaki direman empat hari sehingga 27 Julai ini kerana disyaki mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap suspek curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching pada jam 9.15 malam Jumaat.

Katanya, tangkapan adalah susulan siasatan menyeluruh yang dijalankan ke atas video tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki disyaki suspek kes curi kenderaan dipukul orang awam.


“Lelaki warga tempatan terbabit berusia 46 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam video tular telah memukul suspek mencuri kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.

“Polis ingin ingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang dan jangan membuat spekulasi berkaitan kes ini yang masih dalam siasatan polis,” katanya. — DayakDaily