Lelaki dipercayai cuba bunuh isteri diburu

Suspek yang diburu polis.

KUCHING, 22 Okt: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kini memburu seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh isterinya dengan bertindak menikamnya dengan senjata tajam semalam (Khamis).

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek dikenali sebagai Aloysius Sinclair Eden berusia 35 tahun dan berasal dari Kampung Singai Apar, Bau.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 7.30 malam Khamis di belakang Gereja St Mark Batu Kawa, Jalan Batu Kawa.


“Mangsa (isteri) berusia 35 tahun, pada awalnya meminta izin keluar dari rumah di Taman Desa Wira daripada ibunya untuk berjumpa dengan suaminya (suspek).

“Tidak lama kemudian, ibu mangsa mendakwa menerima panggilan daripada orang awam mengatakan anak perempuannya ditikam menggunakan objek yang tajam dan mengalami kecederaan yang teruk.

“Mangsa yang ditemui orang awam di lokasi kejadian kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di belakang badan, luka di kepala dan leher.

Tegasnya, laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Mangsa dan suaminya masih dalam proses penceraian dan tidak tinggal bersama,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut bolehlah menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082- 862233.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh. — DayakDaily