Lelaki dilaporkan hilang semasa jala udang ditemui mati lemas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.
Advertisement

BINTULU, Feb 25: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar menjala udang di Sungai Kemena di sini Jumaat lalu akhirnya terungkai apabila dia ditemui mati lemas di Kuala Segan, hari ini.

Penolong Peng arah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Dalahan Dibang, 62, ditemui oleh pekerja kilang papan kira-kira pukul 3.20 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu kemudian telah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

Advertisement

“Ketika sampai di lokasi, anggota bomba mendapati mayat mangsa dalam keadaan terapung di tebing sungai itu.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mayat mangsa ke dalam bot penyelamat sebelum dibawa balik ke darat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa.

“Operasi tamat sepenuhnya apabila pihak polis membawa mayat mangsa ke Hospital Bintulu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tiong memberitahu, berdasarkan laporan polis, mangsa telah keluar dari Kampung Jepak pada pukul 2.30 petang untuk menjala udang.

Jelasnya, mangsa dikatakan ada menghubungi isterinya pada pukul 4 petang semalam dan memaklumkan akan balik pada petang berkenaan.

“Bagaimanapun, pada pukul 7 malam pada Sabtu, penghulu kampung mereka telah memaklumkan kepada isteri mangsa bahawa bot milik suaminya telah dijumpai dalam keadaan terbalik di Kuala Segan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement