Warga emas, remaja antara 100 kaki judi yang dicekup

Anggota polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

KUCHING, Feb 26: Seorang lelaki warga emas dan remaja antara 100 kaki judi yang diberkas dalam 75 serbuan yang dilakukan pada Feb 19 hingga 25 lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi yang ditahan itu berusia 17 hingga 72 tahun.

Katanya, daripada 100 kaki judi yang diberkas itu, seramai 64 merupakan lelaki, manakala selebihnya ialah wanita.


“Sejumlah RM3,356 telah dirampas menerusi serbuan di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menyediakan perkhidmatan isian semula judi dalam talian.

“Polis juga merampas sejumlah RM9,813 daripada serbuan ke atas premis menjual loteri haram dan RM1,397 daripada serbuan di tempat awam yang menawarkan judi holo,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, serbuan-serbuan telah dilakukan di 16 buah daerah di seluruh negeri iaitu di Kapit, Marudi, Betong, Bau, Simunjan, Sarikei, Kota Samarahan, Serian, Dalat, Saratok dan Sri Aman.

Katanya, ia termasuk di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu serta Padawan.

“Kesemua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1952,” katanya lagi. — DayakDaily